Jika anda mencari destinasi percutian yang kaya dengan budaya, sejarah serta makanan tempatan yang sedap-sedap, Kota Bharu menanti kedatangan anda!
Bandar yang menjadi nadi Kelantan ini menawarkan banyak tempat menarik dan aktiviti yang menyeronokkan untuk setiap pengunjungnya. Bak kata orang Kelate, “Sekali mari, mesti nok mari lagi!”
Berikut dikongsikan lebih 20 tempat menarik di Kota Bharu Kelantan yang wajib anda kunjungi bersama seisi keluarga.
1. Pantai Nusuk
Pantai Nusuk adalah salah satu tempat menarik di Kota Bharu yang menjadi tumpuan pengunjung. Pantai ini terletak di penghujung pesisir Pantai Sabak, Pengkalan Chepa. Suasana yang tenang dengan deruan ombak menjadikan Pantai Nusuk sesuai untuk mereka yang ingin berehat dan menikmati keindahan alam semula jadi. Di sekitar pantai ini terdapat gerai-gerai makanan yang menjual pelbagai makanan tempatan. Jadi anda boleh singgah mengisi perut setelah beraktiviti di sekitar pantai. Kemudahan lain seperti tandas dan tempat letak kereta pun ada.

2. Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu
Tak perlu pergi jauh-jauh kalau nak rasa pengalaman pasar terapung, dekat Kota Bharu pun ada. Pasar terapung ini dikenali sebagai Pasar Terapung Pengkalan Datu. Pasar ini terletak kira-kira 7 kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan 10 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu. Ia beroperasi setiap hari Sabtu dari pukul 8 pagi hingga 1 tengahari. Di sini ada jual pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang, kerabu nipah dan macam-macam jenis kuih-muih tempatan seperti serabai, akok dan tepung bungkus.

3. Masjid Muhammadi
Masjid Muhammadi di Kota Bharu, Kelantan juga merupakan antara tarikan pelancongan di Kelantan yang anda boleh kunjungi. Apa yang menarik dengan masjid ni?
Salah satu tarikan Masjid Muhammadi ini ialah seni binanya yang menggabungkan seni bina Melayu tradisional dengan sentuhan kolonial British. Keindahannya terserlah melalui empat menara setinggi 70 kaki, dewan solat utama yang luas dengan siling tinggi dan tingkap kaca berwarna-warni.
Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II dan merupakan salah satu masjid tertua di Malaysia. Ia terbuka kepada semua pengunjung tanpa mengira agama.

4. Muzium Negeri Kelantan
Muzium Negeri Kelantan adalah pilihan destinasi yang ideal sekiranya anda bawa anak-anak. Di sini mereka dapat belajar mengenai sejarah dan budaya negeri ini. Di dalam muzium ini terdapat banyak koleksi artifak, senjata tradisional, pakaian adat, alat muzik tradisional, seramik termasuklah manuskrip kuno dan al-Quran. Yang menariknya lagi, muzium ini selalu mengadakan pelbagai aktiviti seperti pameran seni visual, pertandingan khat dan aktiviti untuk kanak-kanak.

5.Taman Indera Petra
Taman Indera Petra adalah sebuah Taman Rekreasi Keluarga seluas 2 ekar yang dilengkapi dengan Taman Tema Air Splash, taman permainan kanak-kanak, medan selera, surau, tandas awam, pusat memanah, pusat aerobik, pusat internet, pusat taekwando dan dewan terbuka.
Taman Air Splash yang terdapat di sini begitu sesuai untuk anda bawa anak-anak bersuka ria.
Terdapat 3 jenis kolam dengan kedalaman yang berbeza dan semestinya selamat untuk kanak-kanak.

6. Padang Merdeka
Padang Merdeka yang di pusat bandar Kota Bharu ini lebih dikenali sebagai Padang Bank dalam kalangan warga tempatan.
Di Padang Merdeka ini pernah menempatkan Kota Kebun Menseta iaitu Istana Sultan Kelantan zaman almarhum Sultan Muhammad I.
Di sini turut terdapat sebuah tugu peringatan Perang Dunia Pertama yang berupa Tiang Obelisk yang menjadi isu hangat.
Di sekitarnya terdapat Menara Rehal yang begitu unik binaannya serta Menara Jam Tambatan Diraja setinggi 150 kaki.
Menara Jam ini turut menawarkan pemandangan 360 darajah dan terdapat perkhidmatan River Cruise untuk menyusuri Sungai Kelantan.

7. Pasar Wakaf Che Yeh
Pasar Wakaf Che Yeh memang wajib singgah terutamanya jika anda membeli-belah dan merasai suasana tempatan yang meriah.
Pasar ini terkenal dengan pelbagai barangan yang dijual pada harga yang berpatutan. Ini termasuklah pakaian, aksesori, barangan rumah dan cenderamata.
Oh tak lupa juga, di sini juga tempat makan yang menjadi pilihan ramai terutamanya bagi mereka yang ingin mencuba makanan yang popular di Kelantan seperti kerabu maggi, pulut mangga, teh tarik madu dan macam-macam lagi.
Pasar ini beroperasi dari jam 7 malam hingga 2 pagi setiap hari.

8. Pasar Siti Khadijah
Kalau datang Kota Bharu tak singgah Pasar Siti Khadijah memang tak sah. Pasar Siti Khadijah ini salah satu tempat menarik di Kota Bharu yang cukup popular dalam kalangan pelancong.
Disinilah tempat terbaik untuk anda membeli belah sambil merasai pengalaman berinteraksi dengan warga lokal. Menariknya lagi, di pasar ini majoriti peniaga di sini terdiri daripada wanita. Di tingkat bawah pasar, anda boleh menemui pasar basah yang menjual sayur-sayuran segar, ikan, daging, dan beras Siam yang terkenal.
Tingkat atas pula menawarkan pelbagai pilihan makanan tempatan termasuklah kuih-muih tradisional Kelantan seperti akok, badak berendam dan tepung pelita. Selain makanan, Pasar Siti Khadijah juga terkenal dengan barangan kraftangan tempatan seperti kain batik dan pakaian tradisional. Jadi, kalau anda cari ole-ole nak bawa balik, inilah tempatnya.

9. Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor
Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor adalah salah satu destinasi membeli-belah yang menarik di Kelantan.
Kawasan ini menawarkan pelbagai barangan bebas cukai termasuk pakaian, barangan elektronik, kosmetik dan makanan.
Selain itu, gerai-gerai makanan di sini juga menjual pelbagai hidangan tempatan seperti mee celup, mee chambul, pulut ayam dan sebagainya.
Jangan lupa singgah ya!

10. Pantai Senok
Pantai Senok terkenal dengan keindahan pemandangannya terutama barisan pokok pain laut yang menjulang tinggi. Ini memang spot popular untuk mengambil gambar di sini.
Di sini juga anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berenang, berkelah, memancing dan macam-macam lagi.
Satu lagi tarikan di pantai ini ialah Rumah Api Pantai Senok. Dari menara ini anda boleh melihat pemandangan panoramik yang menakjubkan.
